Jumat, 31 Oktober 2008

Penyakit Antraks

Pengenalan 
Anthraks merupakan sebahagian dari keluarga basillus - bacterium yang mempunyai bentuk panjang. Nama saintifiknya adalah Bacillus anthracis. Bacillus anthracis mempunyai saiz yang agak besar (1-1.5um x 4-10um). Bacillus anthracis boleh dibiakkan dalam medium agar berkhasiat biasa secara aerobik (dengan oksijen) ataupun anearobik (tanpa oksijen). Bacillus anthracis mempunyai gene dan ciri-ciri yang menyerupai Bacillus cereus, sejenis bakterium yang biasa di dapati dalam tanah di seluruh dunia, dan juga menyerupai Bacillus thuringiensis, pantogen kepada larva Lepidoptera. Antraks merupakan basillus yang pertama dibuktikan sebagai punca penyakit dan basillus Antraks juga membentuk spora yang tahan lama. 
Sejarah asal Antraks adalah samar. Ini adalah kerana walaupun spora Antraks dijumpai secara semulajadi di dalam contoh tanah serata dunia, basillus Antraks tidak boleh di dapati di kawasan di mana tidak terdapat penyakit ini. Kawasan yang dikenalpasti di Amerika sebagai kawasan mempunyai Antraks adalah di Dakota Selatan, Nebraska, Arkansas, Texas, Louisiana, Mississippi 
dan California. Wabak Antraks tidak tetap tetapi berlaku selang beberapa tahun di antara wabak. Ciri-ciri penyakit Antraks boleh dikesan selepas 2 - 4 hari, atau selewatnya 7 hari dari tempoh serangan, 
Anthraks merupakan penyakit yang biasa menyerang haiwan liar dan haiwan peliharaan, terutamanya haiwan maun seperti biri-biri, lembu, kuda, baghal, dan kambing yang tidak dijaga dengan bersih dan cermat. Manusia boleh dijangkiti Anthraks apabila tersentuh haiwan berpenyakit termasuk daging, tulang, bulu, rambut dan kotoran. Walaupun begitu, risiko jangkitan hanyalah 1/100,000. Jangkitan Anthraks dibahagikan kepada 3 jenis iaitu :- 
Kudis Anthraks (cutaneous anthrax) 
Dalam 95% kes cutaneous antraks, ia menjangkiti manusia melalui luka. Luka kecil pada badan terutama dibahagian terdedah seperti muka dan lengan dijangkiti spora Antraks dari haiwan berpenyakit, bangkai atau tanah. Spora Antraks membiak dan kudis tumbuh dikawasan jangkitan. Kudis ini akan bernanah dalam tempoh 12-36 jam jangkitan. Antraks boleh menjadi bertambah teruk dan tersebar sekiranya tidak dirawat. Sekiranya Antraks memasuki salur darah, Antraks boleh membawa maut. 20% daripada kes yang tidak dirawat membawa kematian. 
Antraks Salur Perut (Gastrointestinal anthrax) 
Antraks ini berlaku apabila daging haiwan yang dijangkiti ini tidak dimasak dengan betul sebelum dimakan. Ini adalah kerana spora Antraks mampu bertahan suhu yang tinggi. Apabila spora Antraks memasuki salur perut, Antraks akan menjangkiti mereka yang mempunyai luka yang sedia ada di salur perut. Antraks akan merebak dengan cepat dan boleh membawa maut sekiranya lewat dirawat. Spora Antraks memerlukan suhu 121C selama sekurang-kurangnya 30 minit untuk mati. 25%-60% daripada kes yang tidak dirawat membawa kematian. 
Antraks secara dihidu (penyakit penyisih bulu / woolsorters' disease) 
Apabila spora Antraks memasuki paru-paru seperti yang berlaku kepada orang yang bekerja sebagai penyisih bulu biri-biri, Antraks menyebabkan demam mengejut yang teruk dengan sakit di bahagian dada. Antraks merebak dengan cepat menjadi batuk berdarah dan membawa maut sekiranya rawatan gagal mengawal jangkitan Antraks. Jangkitan secara dihidu dianggap paling merbahaya dan memerlukan rawatan antibiotik dalam tempoh 24 jam dari jangkitan untuk berjaya. Sekiranya tidak, kadar kematian dipercayai 99%. 
Kematian akibat serangan Antraks adalah disebabkan kekurangan oksijen, kejutan sampingan, salur darah bertambah telap, kegagalan pernafasan dan kegagalan jantung. Kematian sering berlaku secara mengejut tanpa disangka-sangka. Aras toksin dalam salur darah meningkat pada peringkat akhir selari dengan jumlah Antraks di dalam darah. Haiwan yang terselamat daripada serangan Antraks menjadi kebal kepada jangkitan semula. Jangkitan kali kedua amat jarang berlaku. 
Urutan penyakit 


Hari Aktiviti Tanda-tanda 
1 Spora memasuki badan. Tiada. 
1 - 6 Spora menjangkiti sistem lymph. Selsema, tekak kering. 
6 - 8 Spora membentuk bakteria Semakin sihat untuk beberapa jam. 
8 Bakteria membiak, menghasilkan toksin yang meningkat dengan pantas. Sesak nafas secara tiba-tiba, berpeluh, kulit menjadi biru (cyanosis - kurang oksijen.) 
9 Kekurangan oksijen menyebabkan kematian sel. Kegagalan pernafasan dan jantung berfungsi. 


Rawatan 
Vaksin Antraks memerlukan tiga suntikan dalam tempoh dua minggu, diikuti dengan suntikan pada 6, 12, 18 bulan berikutnya. Suntikan perangsang tahunan diperlukan bagi mengekalkan kekebalan terhadap Antraks. Wanita mengandung patut mengelak suntikan vaksin disebabkan kesan vaksin terhadap janin tidak diketahui. Vaksin Antraks berkesan selepas empat minggu daripada tempoh suntikan pertama. 
Ubat antibiotik perlu diberikan kepada orang yang tidak divaksin. Antara antibiotik yang boleh digunakan adalah Penicillin, tetracyclines, fluoroquinolones, erythromycin, dan chloramphenicol. Ciprofloxacin dan doxycycline digunakan untuk kes Antraks yang kebal kepada antibiotik biasa. Antraks secara dihidu memerlukan rawatan antibiotik dalam tempoh 24 jam dari tempoh jangkitan untuk berpeluang sembuh. Radang otak mungkin menjadi serangan kedua kepada jangkitan utama, tetapi amat jarang berlaku. 
Antraks dalam peperangan. 
Antraks mudah diternak dan boleh dilakukan di mana-mana makmal. Bagaimanapun faktor keselamatan perlu diambil kira kerana penternak Antraks mungkin menjadi mangsa pertama ternakan mereka. Pada kebiasaan sebanyak 8,000 - 50,000 spora Antraks diperlukan untuk menjangkiti mangsa. Spora Antraks yang digunakan sebagai senjata memerlukan hanya 3,000- 4,000 spora sahaja (anggaran) untuk menjangkiti manusia. 
Spora Antraks yang dihidu mempunyai kadar kamatian yang tinggi, oleh itu spora Antraks B.anthracis merupakan pilihan yang terbaik bagi negara-negara yang ingin memajukan senjata biologi mereka. Spora Antraks B. anthracis boleh dikeluarkan dalam bentuk debu dan mampu tahan bertahun-tahun lamanya. Spora Antraks mampu hidup pengun di dalam tanah sehingga bersentuh dengan kulit manusia ataupun haiwan sebelum merebak 
Spora Antraks kekal di dalam tanah dan boleh menjangkiti manusia apabila dimakan, atau berhubung dengan manusia. Jangkitan kedua ini boleh berlaku bertahun-tahun selepas serangan pertama. Spora Antraks tahan selama berpuluh tahun dalam udara dan bulu yang terdedah. Spora Antraks tahan selama 10 tahun dalam susu, kering atas kertas turas selama 41 tahun, kering atas benang sutera selama 71 tahun, dalam air kolam selama 2 tahun. 
Jangkitan dari manusia kepada manusia jarang berlaku. Ini mungkin dianggap menyenangkan pihak penyerang, ditambah lagi askar yang divaksin tidak akan dijangkiti Antraks buat kali kedua. Vaksin Antraks juga memerlukan masa selama 2 minggu sebelum berkesan, satu kelebihan kepada pihak yang membuat serangan mengejut. 
Secara kasarnya, Antraks merupakan satu penyakit yang amat merbahaya dan boleh membawa maut. Keupayaan spora Antraks bertahan lama membuatkan penggunaan Antraks sebagai senjata boleh membawa kesengsaraan untuk masa panjang dan mempunyai kesan yang tidak dapat dijangka. Bagaimanapun, kadar jangkitan yang rendah antara manusia bererti mangsa tidak perlu dikurantin tetapi perlu dirawat dengan segera. 
Bagaimanapun, terdapat ancaman Antraks secara psikologi, contohnya ancaman pencemaran makanan di pasaraya dengan Antraks, kesannya juga amatlah meluas disebabkan orang ramai akan menghadapi tekanan untuk keluar daripada rumah mereka ataupun mendapatkan bekalan makanan yang mereka yakini selamat. Begitu juga ancaman serangan bagi pengangkutan awam seperti keretapi, bas, dan kapal terbang akan menjadikan keadaan porak peranda. 
Selain itu, terdapat juga masalah sekiranya berlaku kekurangan ubat yang mencukupi untuk merawat mangsa, boleh menyebabkan kadar kematian yang tinggi. Ini berlaku sekiranya jumlah mangsa yang dijangkiti adalah tinggi, seperti serangan spora Antraks di tempat orang ramai berkumpul seperti di disko, pesta, konsert, panggung wayang, atau di stadium sukan. Tempoh masa untuk menerima rawatan, menjadikan bekalan ubat mencukupi adalah genting dalam tempuh 24 jam selepas jangkitan. Oleh itu, marilah kita berdoa agar kita dijauhkan daripada basillius Antraks
Sumber : kesehatanonline.com

Tidak ada komentar: